Mengutuk Penangkapan Dua Orang Mahasiswa Di Bawah ISA

Unit Pendidikan Politik-Institut Kajian Dasar (UPP-IKD)
12 Julai 2001


Berikutan penangkapan sepuluh ahli akitivis reformasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, penangkapan terkini dua orang mahasiswa, Khairul Annuar Ahmad Zainuddin (Jonah) dari Institut Kemahiran Mara (ITM) pada hari Rabu dan Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPUM), Mohamad Fuad Mohamad Ikhwan pada hari Jumaat
lalu di bawah akta yang sama, jelas menunjukkan keresahan dan keadaan
tertekan kerajaan yang semakin mendesak.

Afidavit terbaru yang dikeluarkan oleh aktivis-aktivis reformasi tersebut, membuktikan bahawa tujuan penangkapan bukanlah demi kepentingan keselamatan negara, tetapi untuk kesinambungan eksistensi politik dan pemerintahan pihak kerajaan. Malangnya, adalah dikhuatiri jika tindakan tergesa ini akan membuahkan hasil yang dikehendaki, iaitu niat untuk memberi dan memulihkan kelebihan politik kerajaan. Sebaliknya, ia akan meleretkan lagi keadaan antagonistik di masakini.

Akibat tindakan kerajaan sendiri, kredibiliti kerajaan kini semakin merosot dan penjelasan yang diberikan tidak lagi dapat diterima. Ini adalah kerana, rakyat Malaysia kini semakin sedar tentang hak-hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan. Maka kerajaan seharusnya sedar bahawa tindakan sebegini hanya akan menambahkan lagi penentangan terhadap cara pemerintahan yang sedia ada.

Sehingga kini, ahli politik, pejuang hak asasi manusia dan tokoh-tokoh NGO telahpun ditahan di bawah ISA. Mungkinkah pihak kerajaan ingin meluaskan rangkuman tersebut dengan penangkapan terbaru dua orang mahasiswa ini? Sayangnya, kerajaan hanya memberi laluan untuk terus dikritik dan dicemuh komuniti antarabangsa dan pertubuhan-pertubuhan hak asasi yang lain, dengan menunjukkan bahawa ianya kini kehilangan nilai kemanusiaan, dan menyalahgunakan ‘warisan kolonial’ yang dicipta untuk menentang kebangkitan Komunis di Malaya empat dekad yang lalu.
Menyahut gema seruan Perdana Menteri yang dahulunya menasihati para belia untuk lebih berkebolehan, berfikiran luas dan pro-aktif di dalam tindakan, mengapakah kini nasihat itu dialas dengan nada menggertak ? - Mereka yang tidak berminat untuk belajar akan ‘ditendang keluar’.

Sememangnya benar, universiti dan pusat pengajian tinggi merupakan gudang ilmiah dan fokus perlulah ditumpukan kepada pelajaran. Tetapi bukankah kesedaran politik itu suatu pengajian ?. Bukankah manusia belajar melalui perbincangan dan pengalaman ?. Mengapakah para belia harus terus berdiam diri bagaikan katak di bawah tempurung sedangkan kerajaan menginginkan belia yang berpotensi untuk mewarisinya kelak ?.

Jika benar bahawa para belia tidak sepatutnya ‘berkecimpung’ di dalam arena politik, maka seruan ini harus dipandang secara global dan menyeluruh . Oleh demikian, sebagai mana ianya disarankan bagi mahasiswa yang aktif dalam kegiatan seperti reformasi, ia juga mesti dikuatkuasakan bagi mereka yang aktif dalam puteri dan pemuda UMNO sebagai contoh. Jika persatuan sebegini boleh mengadakan program rekruitnya di tempat-tempat awam, maka persatuan-persatuan yang lain juga harus diberi peluang yang sama. Bukankah kerajaan senantiasa mengaku bahawa mereka mengutamakan sikap yang adil dan tidak berbelah bagi?.

Dengan itu, kami menuntut pembebasan segera kedua-dua mahasiswa tersebut dan tahanan-tahanan yang lain di bawah ISA. Jika mereka telah melakukan sebarang jenayah, mereka seharusnya dihadapkan ke mahkamah dan diadili secara terbuka dan telus. Walhal mereka yang disyaki melakukan pembunuhan atau perogolan yang dahsyat masih boleh diberi hak untuk diadili dan dikira 'tidak bersalah sehingga liabilitinya terbukti'; apakah beza hak asasi mereka yang ditahan di bawah ISA ini, jika keutamaan yang hakiki merupakan perikemanusian bagi insan sejagat?


Mohd Yusmadi Mohd Yusoff
Ketua Biro Penerangan
UPP-IKD