BILA NAK KENA TANGKAP ISA?
Oleh C.Peng

 

Rakan-rakan saya tidak puas mengajukan satu soalan yang sama kepada saya. Soalan ini begitu kerap-kali berulang, dalam versi yang berbeza-beza, namun isinya tidak berbeza,

"Kenapa kau minat sangat politik?"

"Tak takut ke?"

Frekuensi soalan-soalan ini diaju bertambah dengan penangkapan dua orang aktivis pelajar baru-baru ini. Kini soalannya mengambil bentuk yang baru,

"Bila kau nak kena tangkap ISA?"

Soalan ini sememangnya pertanyaan yang berseloroh. Saya seorang mahasiswa picisan, yang cuma gemar mengikuti perkembangan politik terbaru negara dan antarabangsa, sesuai dengan minat untuk mengetahui hal ehwal terbaru sedunia. 'Dosa-dosa' saya kalau ada pun mungkin kerana gemar menulis artikel-artikel untuk pelbagai media bebas untuk menyuarakan pendapat saya.

Begitu ramai yang telah menasihati saya. Saya masih lagi penuntut, belum pun menikmati hari jadi ke 20, sebagaimana Dr. Mahathir telah menjadi Perdana Menteri negara selama dua dekad. Mereka mahukan saya terus belajar tanpa menyuarakan keprihatinan saya kepada negara. Masing-masing menggelengkan kepala melihatkan sikap saya.

Ibubapa saya mempunyai pendirian reformis. Sebelum Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatannya ketika saya menjangkau umur 16 tahun pun, saya telah mempunyai pemikiran yang kritikal kepada establishment.

Saya cukup ingat satu malam pada tahun 1998 ketika saya dan rakan-rakan melangkah ke kelas untuk prep malam, sebagaimana kebiasaan di sekolah berasrama penuh. Seorang rakan akrab yang memang penyokong kerajaan dan sering menjadi lawan saya di dalam perdebatan politik memberitahu saya, "Anwar kena pecat."

Tiga ayat itu telah diulang-ulangkan kepada rakan-rakan di kelas. Niat saya untuk menatap buku pada hari itu tertangguh kerana terlalu ghairah membincangkan mengenai tiga ayat yang kami tidak tahu apa-apa selainnya. Saya cuba mengingati kembali Tamadun yang lepas-lepas yang membincangkan mengenai masa hadapan Anwar.

Anwar bukan calang-calang pemimpin, lebih-lebih lagi bagi saya dan rakan-rakan saya. Kami semua budak koleq - penuntut-penuntut Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), sekolah di mana Anwar banyak belajar ilmu kepimpinan dan pidato. MCKK pula bukan calang-calang sekolah - begitu ramai pemimpin negara dahulu dan hari ini adalah bekas pelajar di sini. Namun sebagai Timbalan Perdana Menteri yang berkarisma dan popular, Anwar mempunyai tempat istimewa di kalangan kami.

Bulan-bulan yang berikutnya menyaksikan negara mengalami pelbagai insiden yang menjadi sejarah penting. Reformasi yang mendapat sambutan rakyat turut disambut oleh ibubapa saya. Bapa saya tidak lagi membaca New Straits Times, akhbar Inggeris yang beliau beli tiap-tiap hari sejak meninggalkan Universiti Malaya di Singapura ketika negara baru sahaja merdeka.

Menulis adalah darah daging saya. Sebelum ini hasil nukilan saya cuma layak untuk menghiasi terbitan-terbitan dalam sekolah yang saya editornya. Namun, setelah meninggalkan bangku sekolah, saya digalakkan untuk menulis di beberapa buah laman web. Pada mulanya saya gunakan pseudonym, namun kali pertama saya mencuba nasib di Malaysiakini dengan menggunakan nama sebenar, artikel saya tersiar.

Tanyalah mana-mana penulis, apa perasaan melihat karya anda diterbitkan untuk khalayak ramai, dengan nama anda tertulis jelas di bawahnya? Itu merupakan pengalaman yang cukup manis - apatah lagi bagi sebuah remaja yang melihatnya buat kali pertama. Ego saya cukup puas hati waktu itu.

Pengalaman itu cukup untuk menggalakkan saya terus mencuba bakat saya, dan beberapa karya saya tersiar lagi. Ibubapa saya tidak celik IT - maka saya mencetak artikel-artikel saya dan ditunjukkan untuk tatapan mereka. Maklumlah, saya begitu seronok dan mahu melihat reaksi mereka.

Mereka memberi reaksi yang baik, namun pujian mereka sering diakhiri dengan ingatan tentang kesan tulisan saya tersebut. Sebagai siswa, tindakan itu mungkin membahayakan masa hadapan saya. Rakan-rakan yang mengetahui turut mengingatkan saya.

Pada firasat saya, rakan-rakan dan keluarga saya sememangnya berfikiran rasional. Mengapa sepatutnya saya begitu gila menulis artikel-artikel yang mungkin provokatif buat pihak-pihak tertentu apabila masa hadapan saya yang masih begitu jauh terabai? Saya bukanlah pelajar geliga yang mendapat A+ memanjang, cuma pelajar sederhana.

Namun saya sedar apa yang terbaik buat diri saya. Sememangnya perangai saya ini agak janggal bagi seorang remaja. Tetapi di dalam hal lain saya remaja biasa juga - saya mengikuti rakan saya ke gedung-gedung membeli belah, saya minat bola sepak dan sering menjadi pelanggan VCD cetak rompak Plaza Imbi. Cuma saya ada minat untuk menulis, dan di dalam tulisan saya saya cuma menyuarakan pendapat saya, dan itu adalah hak mana-mana manusia. Mungkin pelajaran saya bukan cemerlang - tetapi lebih ramai pelajar yang mendapat gred lebih teruk kerana asyik melayan teman wanita mereka atau tidak minat belajar.

Umur saya sudah cukup untuk menandatangani kontrak. Begitu ramai remaja-remaja pada zaman Rasulullah s.a.w dahulu lebih muda dari saya sudah memimpin bala tentera yang besar. Tidak lama lagi saya boleh mengundi dan bertanding di Parlimen. Michael Owen menyerlahkan Liga Inggeris pada umur saya juga. Ertinya, saya bukan kanak-kanak hingusan yang tidak punya pendapat dan kebolehan untuk menyuarakannya. Begitu juga rakan-rakan saya yang sebaya yang lainnya - kami bukan boneka-boneka tolol yang boleh diarah untuk berbuat apa sahaja sedangkan conscience kami menentangnya. Umur bukan menjadi ukuran - kalau sememangnya ukuran, orang tua nyanyuk menjangkau 70-an tidak patut mentadbir negara.

Pendirian saya tegas, meskipun tidak bermakna saya tidak berfikir akan risiko dan cause and effect tindakan saya. Setiap tindakan saya terlebih dahulu akan saya timbangkan calculated risk sekalipun prinsip saya untuk menuntut keadilan dan kebenaran tetap kukuh di sanubari. Saya seorang realis disamping idealis. Idealisme saya bukan idealisme membuta tuli yang tidak berpijak pada realiti keadaan dan persekitaran saya. Biarpun ramai memikirkan gila barangkali saya ini kerana keprihatinan saya dan keinginan saya menyuarakan pendapat dan pandangan saya, saya fikirkan ini lebih baik dari cuma tahu mengutuk di warung-warung tepi jalan tanpa berani menyumbang lebih.

Bukan semua orang dapat memberi sumbangan mereka seperti saya. Masing-masing ada kemampuan dan kebolehan masing-masing - tetapi kita seharusnya berani untuk menggunakannya sebaik mungkin untuk prinsip dan idealisme kita. Ada seorang yang menyuruh saya diam membisu, belajar bersungguh-sungguh, dan cuma menjadi idealistik apabila punya kuasa, wang dan pengaruh. Namun saya lebih realistik dari itu - saya tidak tahu saya yang akan hidup 10, 20 tahun lagi dan memilikki jawatan besar, kereta besar serta gaji besar masih lagi idealistik atau sudah termakan dengan cubaan-cubaan dunia. Kebiasaannya, golongan muda lebih lantang, radikal dan idealistik dari golongan dewasa.

Hari ini saya idealistik, lebih baik saya tumpukan pada hari ini. Esok, siapa tahu?