SIAPA YANG LUPA?
Oleh Nik Nazmi Nik Ahmad, Unit Pendidikan Politik - IKD

Dr. Mahathir menganggap rakyat Malaysia sebagai insane-insan pelupa, yang sedang menderita amnesia yang serius, sebagai bangsa yang lemah dan cetek ingatannya.

Apa membuatkan saya berkata demikian?

Di dalam tindak-tanduk Mahathir, terutamanya akhir-akhir ini, kita dapat melihat dengan jelas sifat oportunis dan dasar real politiknya. Mahathir makin hari kelihatan lebih berminat memperjuangkan survival politik buat dirinya, bukan lagi berjuang dengan pendirian atau ideal yang jelas. Kenyataan-kenyataan yang dibuat olehnya, mahupun apa yang dilakukannya kelihatan bercanggah antara satu sama lain. Suatu ketika dahulu beliau dengan penuh semangat mengatakan 'itu hitam', kini beliau mendabik dada, membangga-banggakan bahawa perkara sama 'itu putih'.

Bukan bangsa Melayu yang sudah lupa, tetapi seorang doktor tua yang lebih berminat mempertahankan kerusi empuk di Putrajaya yang sering lupa. Beliau mahukan semua rakyat lupa, namun malang sekali tidak semua nyanyuk dan lemah daya ingatan seperti dirinya.

Di dalam isu meritokrasi, dahulunya Mahathir terlalu sering menggambarkan 'meritokrasi' tak ubah seperti satu carutan yang kotor, sebagai perkataan keji yang haram disebut. Pada tahun 1996 Lee Kuan Yew diherdik apabila beliau menyuarakan kesediaan Singapura menyertai Malaysia tetapi hanya andainya negara kita bersedia mengamalkan meritokrasi.

Tahun lepas tuntutan Suqiu dimaki hamun, apparatchik-apparatchik Pemuda UMNOnya bersedia membakar Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Suqiu dicop sebagai komunis. Namun terus begitu mudah sekali Mahahtir mengubah pendirian; tahun ini beliau mahu meritokrasi diperkenalkan, kononnya kerana mahu pelajar Melayu tidak lalai dan leka, tidak lagi melepak bergoyang kaki. Bukankah ini yang selama ini disuarakan oleh pihak-pihak pro-meritokrasi? Mahathir sebenarnya cuma mahukan kuota-kuota dan dasar-dasar pro Bumiputera ditamatkan kerana aktivisme mahasiswa Melayu mencabar hegemoni politiknya. Meritokrasi bukan mahu dilaksanakan atas satu kepercayaan mendalam dan teguh akan keadilan dan kemanusiaannya, tetapi atas desperado Mahathir yang kian tersepit. Kalau dikaji lembaran sejarah, akan kita dapati bahawa meritokrasi bertentangan dengan tesis Mahathir yang diutarakan di dalam The Malay Dilemma dan dasar-dasar yang diamalnya sebagai Perdana Menteri.

Dahulu, Mahathir punya pendirian, meskipun saya mengaku saya tidak bersetuju dengan segala apa yang diperjuangkannya. Membaca tulisan-tulisan awal nukilannya, ketika beliau memakai nama samaran C.H.E Det, di The Straits Times kita dapat melihat keprihatinannya kepada kesengsaraan Melayu marhaen, kejumudan adat-adat Melayu yang bertentangan dengan Islam dan sebagainya. Tahun demi tahun silih berganti, The Angry Young Man kini menjadi The Bitter Old Demagogue. Ideal-idealnya makin sempit, tassawurnya makin xenophobic dan keprihatinannya buat Melayu marhaen berlaih menjadi keghairahan mengamalkan kronisme dan nepotisme.

Tragedi dasyat pengeboman WTC sekali lagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengukur sandiwara politik yang dipentaskan Mahathir. Kini beliau bersungguh-sungguh mahu mendekati Amerika. Beliau telah melancarkan blitzkrieg media untuk mewarnakan Anwar sebagai seorang fundamentalis Islam. Agen-agen media kerajaan dijadikan alat untuk memperkotak-katikkan minda rakyat Malaysia.

Tetapi sewajarnya ada rakyat Malaysia yang bertanya, mengapa kini Anwar fundamentalis Islam yang merisaukan Barat? Bukankah ketika dipecat dahulu Mahathir menggambarkan
Anwar sebagai ejen CIA dan campurtangan luar semata-mata kerana Anwar mendapat resepsi permaidani merah ketika lawatannya ke Amerika? Ketika menghadiri Persidangan APEC di Shanghai tempoh hari, Mahathir mendapat sambutan permaidani merah daripada kerajaan China. Menggunakan premis Mahathir, maka bolehlah kita menyimpulkan bahawa beliau kini sebenarnya ejen Parti Komunis China!

Mungkin pendirian Mahathir kini tidak ubah umpama yo-yo yang kejap di atas, kejap di bawah dapat mempermainkan pemikiran rakyat di dalam jangkamasa pendek. Mungkin juga beliau dapat menambah political mileagenya buat seketika. Tetapi beliau lupa, di dalam usahanya melahirkan bangsa Malaysia kelas pertengahan yang makin ramai, rakyat yang dapat ditipu dan dipermainkannya makin sedikit. Rakyat Malaysia semakin ramai yang berani bertanya, yang sudah pulih daripada penyakit lupa untuk mengenali personaliti oportunistik pemimpin-pemimpin mereka.