Sembang Kedai Kopi
Oleh C. Peng dari Unit Pendidikan Politik, Institut Kajian Dasar

Perbincangan yang asalnya berkisar tentang perlawanan Manchester United bertemu Malaysia tempoh hari berlarutan menjadi satu diskusi politik. Melihatkan sikap saya yang kurang berpuas hati dengan kurangnya semangat patriotik di kalangan beberapa pemain negara di samping hampir keseluruhan penonton yang lebih berbangga menjadikan Stadium Nasional di Bukit Jalil sebagai lautan merah daripada warna
kuning pasukan Harimau Malaysia - seorang rakan yang saya tahu pro-
kerajaan menempelak saya, "Kenapa kau mesti anti kepada semua?"

Selama saya mengenalinya, lebih kurang setahun, rasanya jarang sekali kami berbincang tentang politik. Masing-masing mengenali pendirian masing-masing - seorang siswa pro-kerajaan yang tidak berapa gemar mengikuti perkembangan politik, seorang lagi seorang yang cukup anti establishment, terlalu gemar membeli Harakah yang terbaru, melayari Malaysiakini dan FreeAnwar.com, di samping menyumbang sedikit sebanyak artikel kepada media reformasi. Ada yang menganggapnya sosialis kerana sering menghitung dosa-dosa kapitalisme dan globalisasi. Kelainan yang cukup ketara dari sudut politik ini telah mencampakkan sebarang perbincangan berbaur politik jauh-jauh
dari persahabatan kami.

Namun suasana di kedai kopi hari ini cukup berlainan. Saya dikelilingi rakan-rakan yang pro-kerajaan, penyokong reformasi dan yang apolitical. Ramai lagi orang lain yang berada di kedai tersebut, dan kesedaran mengenai perangai saya yang mudah terbawa-bawa dengan sebarang perdebatan politik, saya cuma tersengih tawar sambil berkata, "Bukanlah saya anti segala-galanya."

"Bukan? Bagaimana dengan anti McDonalds engkau tu? Anti ISA?
Anti Mahathir? Slogan-slogan kebencian yang sering engkau tuturkan?"

Jawapan-jawapan yang cukup jelas bermain di benak saya. Saya anti McDonalds kerana McDonalds seolah-olah simbol kedangkalan kapitalisme yang berpasangan dengan imperialisme budaya, penafian hak-hak pekerja, menjual makanan yang hampir tiada nilai khasiat langsung melainkan lemak, kolestrol dan gula dan motif keuntungan tanpa nilai tanggungjawab yang sepadan. ISA pula alat utama untuk melumpuhkan gerakan Islah -Reformasi, menjadi musuh demokrasi yang mencabul hak - hak manusia dan keluhuran perlembagaan negara. Mahathir pula, di sebalik budinya terhadap negara, kini telah membawa negara kita semakin jauh dari sebuah negara demokratik yang menghormati sentimen rakyat, disamping mengaut hasil mahsul negara dari kantung-kantung rakyat kebanyakan untuk kepentingan seorang dua kroni-kroni dan anak-
pinaknya.

Saya anti ISA kerana saya pro-keadilan (dengan `k' kecil) dan saya anti-Mahathir kerana saya pro-kesejahteraan buat semua. Saya anti bukan semata-mata hendak `anti' tanpa sebab, tetapi `anti' kerana saya percaya akan pendirian dan idealisme saya. Suara-suara latar mencuri perhatian. "Mahathir kan dah banyak berbudi untuk kita. Kita semua mahasiswa - dan dari mana wang saku yang kita peroleh setiap bulan kalau bukan dari kerajaan?"
"Tak ada Mahathir, tak adalah KLCC. Tak adalah Litar F1 Sepang."

Di minda saya, imej dan suara Mahathir mendeklamasikan sajak Melayu Mudah Lupanya bermain perlahan-lahan. Berkesan juga rupanya gimik Mahathir.

"Mungkin antara pimpinan UMNO sekarang yang tidak relevan. Tetapi partinya masih ideal. Apa yang kau lihat ada pada Keadilan tu?"

Begitu ramai yang ingin mencelah, hingga jawapan yang masih saya lakari di dalam minda tidak dapat dikeluarkan dari kerongkong. Alangkah baiknya sekiranya saya dikurniakan dengan kebolehan berpidato seperti Dr. Burhanuddin Helmy, Asri Muda atau Ahmad Boestamam yang dapat bercakap panjang lebar akan pendirian perjuangan
pro-marhaen, pro-Islam dan anti-imperialisme serta pemodal dengan begitu petah sekali, sehingga memukau kawan atau lawan. Tetapi saya bukan pemidato yang hebat, cuma seorang insan kerdil yang cintakan keadilan.

"Kalaulah PAS yang berkuasa, sudah pasti panggung wayang di negara kita terang benderang, laki-laki dan perempuan duduk di bahagian berlainan."
"Mengapa itu sahaja engkau lihat pada PAS? Perjuangan PAS mengambil kira keadaan masyarakat hari ini. Dasar-dasar yang mereka perjuangkan akan dilaksanakan secara sederhana dan berperingkat-peringkat."

Akhirnya mood perbincangan berubah.

"Kalau ya pun itulah rancangan PAS, salahkah rancangan mereka? Apabila kau sendiri punya anak nanti, apa dasar yang kau mahu?"

Saya bersuara sedikit-sedikit sahaja, sedangkan dialog yang dirakamkan di dalam ruangan ini semuanya pandangan rakan-rakan saya - semuanya belum menjangkau umur dua dekad, remaja-remaja kelas pertengahan yang lebih gemar bermain Counter strike pada masa terluang dan menonton tayang gambar Hollywood apabila tiba hari minggu. Ini belia yang normal dan biasa, yang punya pandangan masing-masing meskipun muka surat akhir akhbar yang biasa dibelek dahulu sebelum mengambil tahu keputusan pilihanraya Likas. Saya juga seperti mereka, bezanya minat saya di dalam perkembangan semasa negara berbanding mereka mungkin lebih sedikit.

Namun remaja yang gemar menghirup café mocha di kaki lima ibu kota hari ini jugalah yang bakal mewarisi tonggak kepimpinan negara. Sejak saya berumur 13 tahun saya menjumpai rakan-rakan sebaya yang punya minat dan rasa ingin tahu tentang perkembangan politik negara - dan tahun demi tahun berlalu, jumlah yang minat bertambah, tassawur mereka menjadi semakin matang dan minat mereka makin mendalam. Saya sendiri sering terbabit didalam perdebatan politik yang hangat dan kerapkali menjadi emosional, maklumlah, sebagai remaja yang masih naïve dan terlampau idealistik. Namun belum pernah kerana perbincangan ini kami mengambil keputusan untuk bertindak militan dan membakar mana-mana dewan!

Ini seharusnya dipupuk dan digalakkan. Ini adalah proses semulajadi di dalam pembangunan intelek insan. Sememangnya manusia - remaja mahupun dewasa akan punyai pandangan berbeza. Namun seringkali kematangan intelektual remaja diperolokkan oleh golongan dewasa yang lebih tua dan cuba disekat. Bagi kami, mahasiswa, sememangnya akademik menjadi tumpuan kami. Mungkin ada yang memandang hidup mahasiswa ini sebagai peluang untuk berfoya-foya, untuk mencari pasangan dan sebagainya, tetapi majoriti sedar tentang prioriti kami, kalau tidak bagaimana kami dapat menjejakkan kaki ke menara gading?

Sikap takut terhadap kemampuan mahasiswa untuk mempunyai pendirian dan pendapat buat diri mereka akhirnya akan merugikan negara kita sendiri. Kepimpinan negara hari ini juga kebanyakannya pelajar-pelajar yang peka dengan perkembangan politik negara,
bukannya siswa-siswi yang bercermin-mata tebal yang hanya tahu menelaah matapelajaran dan tidak prihatin akan perkembangan masyarakat di sekeliling mereka.