MENGAPA DITAKUTKAN SELADANG?
by Wan Maris Rilaka


Beberapa hari yang lepas, dua buah rencana berkisar isu penyatuan Parti KeADILan dengan Parti Rakyat Malaysia tersiar di dalam akhbar internet Malaysiakini.com. Artikel pertama Abim Faction's Opposition to KeADILan-PRM Merger Triggers Party Split memetik kata-kata Presiden Abim Ahmad Azam Abdul Rahman yang mengulas isu penyatuan yang dicadangkan antara KeADILan dan PRM.

Antara lain, beliau menyuarakan pendapatnya betapa penolakan beberapa calon Abim baru-baru ini adalah kerana penentangan mereka terhadap isu penyatuan KeADILan-PRM. Pertama sekali, harus ditekankan bahawa di dalam Pemilihan KeADILan baru-baru ini, bukan semua calon Abim yang tewas. Di dalam MPT sendiri, beberapa calon Abim telah mendapat kemenangan. Pertemuan faksi di dalam pemilihan tersebut adalah amalan biasa di dalam demokrasi dan tidak wajar menular kepada satu schism di dalam KeADILan.

Azam berpendapat bahawa komponen-komponen Barisan Alternatif dapat bekerjasama sebagai entiti berasingan bagi menghadapi senario politik negara. Mungkin ada benarnya kata-katanya itu. Sekiranya percantuman antara KeADILan dan PRM berjaya dilaksanakan, BA akan tinggal dua parti, tidak ubah seperti Angkatan Perpaduan Ummah (APU) antara PAS dan Semangat 46 tidak lama dahulu. Malah, APU dahulu sebenarnya turut mengandungi dua parti serpihan yang kecil, iaitu HAMIM dan BERJASA menjadikan komponennya berjumlah empat buah parti. Ini jauh berbeza dengan Barisan Nasional yang mengumpulkan 14 buah parti dibawah panji dacingnya.

Namun, harus diingat juga, adakah yang menjadikan sesuatu pakatan politik itu kuat atau hebat bersandarkan kepada kuantiti, dan bukan kualiti? BN dengan kekuatan dan kelebihan yang mereka ada, sokongan kewangan yang kukuh, penyalahgunaan media massa dan jentera kerajaan dan tekanan terhadap parti-parti pembangkang mempunyai built-in advantage yang membolehkan 14 parti terus beroperasi tanpa banyak masalah. Namun pihak pembangkang di negara umumnya, dan BA khususnya, adalah entiti yang masih secara relatifnya lemah. Jika diumpamakan di dalam sektor ekonomi, komponen-komponen BA harus berusaha mencapai economies of scale bagi menggandakan dan memaksimumkan kekuatan yang ada.

KeADILan adalah parti yang baru, masih muda. Pencapaian di dalam Pilihanraya 1999 mungkin mengecewakan sesetengah pihak, namun sebagai sebuah parti yang benar-benar disusun secara rapi ketika Pilihanraya begitu hampir, kejayaan yang dicapai boleh dibanggakan. Tidak dinafikan sumbangan Abim dan jentera-jenteranya di dalam membolehkan penubuhan begitu banyak bahagian dan cawangan parti menjelang Pilihanraya 1999.Tetapi penyokong-penyokong parti juga harus muhassabah akan persediaan untuk Pilihanraya Umum yang dijadualkan akan diadakan pada tahun 2004. Sebagai parti baru, kita ada kelemahan di dalam jentera pilihanraya, organisasi dan sebagainya, jika dibandingkan dengan parti-parti lain. Maklumlah, sifat KeADILan sendiri sebagai sebuah rainbow coalition yang dianggotai pelbagai lapisan masyarakat - dari aktivis Abim, badan-badan bukan kerajaan lain, dan massa yang sebelum ini apolitical menjadikan parti sebagai sebuah entiti yang kurang pengalaman di dalam selok-belok Pilihanraya dan tidak punya tradisi politik yang cukup lama, melainkan bagi mereka yang pernah di dalam UMNO atau parti-parti politik lain.

Parti Rakyat Malaysia pula sebuah parti yang sudah cukup lama wujud di negara, sejak zaman 50-lagi. Malah, kiranya susur galur sejarah parti tersebut dilakar lebih lama lagi, PRM mempunyai permulaannya dengan organisasi politik Melayu nasional yang pertama, iaitu Kesatuan Melayu Muda pada zaman sebelum perang. Selepas perang, dengan sebahagian pimpinan mereka lari ke Indonesia, Parti Kebangsaan Melayu Malaya ditubuhkan, dan menjadi simbol perjuangan politik kiri Melayu.

Meskipun selepas kematian Allahyarham Ahmad Boestamam PRM tidak lagi menjadi sebuah parti pembangkang yang benar-benar kuat seperti PAS atau DAP, namun ia telah berjaya menjadi sebuah parti yang berasaskan Melayu tetapi pelbagai kaum dari segi keahlian yang terus dapat menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang. Tetapi sesetengah pihak melihatkan PRM kurang tarikan buat orang ramai.

Maka dengan inilah indahnya percantuman yang dirancangkan. Kelemahan KeADILan yang setahun jagung dari segi tiadanya tradisi politik, jentera politik yang cukup berpengalaman dan kurang organisasi di dalam menghadapi pilihanraya dapat ditutupi dengan kelebihan dan kekuatan yang ada pada PRM. PRM pula dapat memanfaatkan broad-based appeal yang dipunyai KeADILan. Itulah yang diharap-harapkan dari percantuman KeADILan-PRM nanti.

Pihak-pihak tertentu di dalam KeADILan pula dikatakan risau akan ancaman 'Seladang' sekiranya PRM bergabung dengan KeADILan nanti. Sejarah perjuangan kiri PRM diungkit kembali sebagai bogey untuk menakut-nakutkan ahli KeADILan, khususnya yang dari organisasi-organisasi Islam akan ancaman sosialisme.

Mungkin pihak-pihak tersebut melihat akan PRM pada zaman 80-an dahulu, dibawah pimpinan Kassim Ahmad. Waktu itu, nama PRM ditukarkan kepada Parti Sosialis Rakyat Malaysia dan perjuangan parti yang ketika Boestamam disandarkan kepada marhaenisme telah dialihkan kepada sosialisme saintifik.

Sekiranya mereka dapat melihat sejarah zaman 80-an, tidak salah juga sekiranya mereka melakari perjuangan PRM dari zaman yang lebih lama sebelum kewujudan PSRM, ketika zaman aktivisme politik tempatan memuncak zaman 40-an dahulu. Pada waktu itu, gabungan parti-parti Melayu yang mencabar perjuangan nasionalisme-feudal UMNO ialah Pusat Tenaga Rakyat, Putera. Putera bukan sahaja mengumpulkan parti-parti kiri seperti PKMM, Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) malah turut merangkumi golongan ulama' dan berpendidikan agama dengan Majlis Islam Tertinggi (MATA) pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Bakir. Ini menunjukkan golongan beragama dan pejuang-pejuang kiri bukanlah tidak boleh berjuang bersama-sama. Keakraban golongan kiri dan golongan agama merisaukan pihak kolonialis dan UMNO. Ketika Hizbul Muslimin ditubuhkan, yang mewarisi perjuangan MATA dan kemudiannya menjadi forerunner kepada PAS, Dato' Onn Jaafar menyifatkannya sebagai 'bahaya dari gunung (merujuk kepada Gunung Semanggol)' dan menyamakannya dengan ancaman golongan komunis.

Malah, Dr. Burhanuddin Al Helmi, seorang tokoh pejuang Melayu kiri juga diiktiraf sebagai pejuang Islam yang ulung. Beliau yang mempunyai persahabatan yang cukup intim dengan pengasas PRM Ahmad Boestamam setelah PKMM diharamkan telah memimpin PAS hingga ke akhir hayatnya. Malah, merujuk kepada buku Dr. Burhanuddin Putera Setia Melayu Raya karangan Boestamam, Dr. Burhanuddin turut memainkan peranan yang penting di dalam pengasasan PRM dan berucap ketika Kongres Pertama PRM di Kuala Lumpur.

Meskipun, mungkin dibawah zaman Kassim Ahmad, PRM telah melihatkan 'kekiriannya' yang amat ketara dengan mengambil 'sosialisme saintifik' sebagai dasar perjuangan parti, namun dibawah pucuk pimpinan Dr. Syed Hussin Ali, Presiden PRM hari ini, beliau telah berjaya menjadikan PRM parti yang lebih centrist dan sederhana. Faksi 'sosialis saintifik' PRM ramai yang berhijrah untuk membentuk Parti Sosialis Malaysia yang masih belum diluluskan pendaftarannya manakala Kassim Ahmad pula tidak lagi aktif di dalam politik.

Parti Demokratik Indonesia, PDI, merupakan sebuah parti yang mempunyai hubungan rapat dari segi sejarah dengan PRM. Dasar 'marhaenisme'nyalah yang menjadi panduan penubuhan PRM dahulu, dan kedua-dua buah parti memakai lambang seladang berlatarbelakangkan warna merah. Selepas era Suharto, faksi PDI iaitu PDI-Perjuangan pimpinan Megawati Sukarnoputri telah berjaya menjadi parti politik yang membentuk kerajaan dan melahirkan seorang lagi pemimpin Indonesia iaitu Megawati sebagai presiden. Seladang bukanlah simbol perjuangan yang radikal atau kekirian yang melampau, tetapi ia kini mewakili perjuangan demokrasi yang dapat diterima oleh massa.

Soal senioriti di dalam parti harus dikikiskan. Sememangnya fitrah manusia akan mudah terasa sekiranya kita yang pada firasatnya layak memegang jawatan terpinggir, tetapi yang lebih utama adalah survival dan masa hadapan parti. Apa salahnya ahli-ahli baru yang berkemampuan turut memegang jawatan parti? Kita tidak boleh menjadi seperti UMNO yang menghalang darah muda dan anggota baru dari memainkan peranan penting di dalam pentadbiran politik dan dilihat sebagai sebuah parti yang 'outdated' dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Sewajarnya, kelebihan KeADILan terletak pada kemampuannya untuk membolehkan sesiapa sahaja yang layak menyertai dan seterusnya memimpin parti. KeADILan tidak boleh memasukki perangkap menjadi sebuah parti yang ekslusif tetapi haruslah inklusif kepada mana-mana faksi.

Artikel pemimpin PRM Hassan Karim Duri Dalam Percantuman KeADILan - PRM telah mengingatkan golongan ABIM agar jangan menjadikan isu percantuman ini untuk berundur dari parti. Pengunduran faksi ABIM dari parti hanya akan melemahkan parti, dan apa-apa perbezaan fahaman seharusnya diatasi dengan hikmah dan kebijaksanaan, bukan dengan emosi. Slogan Bhinneka Tunggal Ika - Kesatuan Dalam Pelbagaian harus menjadi ingatan kepada semua ahli parti bahawa disebalik perbezaan latarbelakang, dan pemikiran, ahli-ahli KeADILan terikat dengan perjuangan menuntut keadilan dan menubuhkan masyarakat madani di negara kita.

Hassan Karim turut mengingatkan kita, sekiranya percantumanlah apa yang dimahukan oleh parti, maka sebagai menghormati proses demokrasi parti kita seharusnya menerima keputusan tersebut. Tidak salah kita menentang atau tidak bersetuju dengan syor tersebut sekiranya kita yakin kepercayaan kita tersebut dibulatkan di atas asas kebaikan parti. Tetapi apabila ahli-ahli telah membuat pilihan, kita harus akur dan kini dengan fikiran terbuka berusaha menjayakan apa yang dikehendaki oleh majoriti ahli. Itulah adat berjemaah.

WAN MARIS RILAKA ialah seorang mahasiswa tempatan yang mempunyai minat yang mendalam terhadap sejarah politik tanah air disamping hal ehwal semasa dalam dan luar negara. Beliau merupakan ahli Unit Pendidikan Politik - Institut Kajian Dasar (UPP-IKD) dan laman web mereka boleh dilawati di http://uppikdasar.tripod.com