CAMPUR TANGAN POLITIK DI KAMPUS
oleh C.Peng

 

Tidak lama dahulu, kerajaan memberi amaran keras kepada mana-mana mahasiswa yang terlibat dengan politik. Kata mereka, mahasiswa sepatutnya menumpukan perhatian kepada pelajaran dan tidak membenarkan aktiviti-aktiviti lain mengganggu prestasi akademik mereka. Kehidupan mahasiswa di kampus tidak sewajarnya diganggugugat oleh politik kepartian kata pihak yang sama. Kemarahan Dato' Seri Dr. Mahathir, Perdana Menteri terhadap siswa-siswi, tokoh yang suatu ketika dahulu gah mengutuk penjajah British dan membela nasib Melayu di dalam akhbar dengan menggunakan nama samaran C.H.E Det ketika menjadi siswa di Singapura, tergambar apabila beliau mengancam mengubah sistem kuota di universiti semata-mata penentangan segolongan mahasiswa terhadap pihak kerajaan. Namun aneh sekali, kejelekan pihak pemerintah terhadap politik mahasiswa bertukar dari penentangan kepada sokongan padu apabila mahasiswa terlibat di dalam politik yang menyokong pihak pemerintah.

Sikap ini menggambarkan seolah-olah pihak kerajaan Barisan Nasional tidak arif akan prinsip-prinsip demokrasi.Perbezaan pendapat dan tindakan menyokong mana-mana pihak yang bergerak secara sah di dalam lingkungan Perlembagaan negara tidak sepatutnya disekat, kerana itu adalah hak asasi manusia. Sekiranya politik kepartian berdosa, mengapa 'dosa' itu tidak diungkitkan ketika melibatkan UMNO dan parti-parti pemerintah yang lain? Misalnya tidak lama dahulu, Ketua Pemuda UMNO, Hishamuddin Hussein Onn menyalahkan 'pihak-pihak tertentu' mengapi-apikan pelajar dan mempengaruhi pelajar untuk menyokong pembangkang - sedangkan pihak kerajaan tidak sekali-kali bermusahabah akan kepincangan mereka sendiri di dalam mencari punca penentangan mahasiswa. Di dalam Al Wasilah, sebelum majalah itu diharamkan kerajaan, Ketua Hawa GAMIS, Idawati Zakaria menegaskan, "Mungkin kesimpulan ini timbul kerana isu-isu yang kami perjuangkan sama dengan pihak
pembangkang. Kami mahu Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), ISA dan pelbagai lagi akta-akta yang zalim untuk dimansuhkan, sperti pembangkang. Kami menentang rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pilih kasih, dan pihak pembangkang turut sama menentang isu-isu tersebut."

Tekanan terhadap mahasiswa makin hari makin meruncing. Masyarakat luar melihat kegagalan mahasiswa mendepani isu-isu masyarakat sebagai 'kelesuan mahasiswa', namun sebenarnya tekanan kerajaan sama ada mengikut akta-akta tertentu (AUKU dan ISA) atau menggunakan cara-cara yang 'lembut' telah turut menyumbang ke arah persepsi kelesuan tersebut. Isu kebakaran Dewan Tunku Canselor dipolitikkan - sebelum siasatan dihabiskan, dan Putri UMNO cuba menjuarai isu tersebut hingga menjatuhkan martabat pentadbiran UM. Dua pemimpin mahasiswa ditahan dibawah ISA - satu simbol kezaliman dan
ketandusan idea di pihak kerajaan.

Buat pertama kali, pilihanraya kampus di institusi pengajian tinggi awam utama tempatan diadakan lebih kurang pada hari yang sama pada tahun ini. Malangnya catatan sejarah ini tercemar dengan campurtangan pihak sama yang sering menyalahkan pembangkang di dalam mempengaruhi mahasiswa berlaku secara berleluasa dan terbuka. Ramai calon pilihanraya menjadi mangsa kempen mereka untuk menguasai kampus-kampus tempatan.Muslihat sebenar pihak kerajaan terdedah apabila di dalam Dewan Rakyat beberapa hari yang lalu, wakil rakyat BN dari Sri Gading dengan jelas menegaskan betapa tidak salah UMNO dan Putri UMNO menyusupi kampus dan sekolah-sekolah kerana parti itu berjasa di dalam kemerdekaan negara, sedangkan parti pembangkang tidak boleh berbuat demikian. Kenyataan tersebut menjelaskan ketidakfahaman dan kecetekan pihak-pihak tertentu yang nampak sangat naif terhadap prinsip demokrasi dan kebebasan di negara kita.

Jika dahulu kepincangan terdedah dengan penyebaran ribuan borang kemasukan Putri UMNO di dalam kampus, kini pihak mahasiswa merasa gusar dengan pelbagai sekatan dan campurtangan yang lebih ketara ketika pilihanraya kampus. Pelbagai pihak mencetuskan rasa tidak puas hati dengan tempoh kempen yang pendek (yang ditentukan sebelum kemangkatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, jadi tiada kaitan antaranya) sehinggakan begitu ramai siswa dan siswi yang tidak sedar pun akan pilihanraya kampus ini. Apa gunanya ada pilihanraya kiranya para mahasiswa tidak tahu mengenainya? Segala apa
manfaat dan persediaan yang sepatutnya diterapkan menerusi politik kampus tidak akan sampai kepada para mahasiswa jika ramai tidak terbabit. Adakah sesetengah pihak menjangkakan penglibatan mahasiswa yang lebih ramai akan mencabar survival mereka? Majlis Perwakilan Pelajar yang dibentuk dengan sokongan 'electorate' yang sedikit tidak akan mendapat kepercayaan para mahasiswa.

Sepuluh orang calon Cina, yang dikatakan tidak berpihak pada golongan penyokong kerajaan di Universiti Malaya dibatalkan penyertaan mereka oleh Suruhanjaya Pilihanraya yang diketuai Timbalan Naib Canselor, hingga menimbulkan kemarahan para mahasiswa. Ramai mahasiswa mendakwa, kesalahan-kesalahan yang diletakkan pada sepuluh calon tersebut turut dilakukan oleh calon-calon lain dari kumpulan penyokong kerajaan. Tindakan sebeginilah yang menghakiskan kepercayaan mahasiswa terhadap kebebasan di kampus.

Tindakan tersebut juga mampu menimbulkan semangat perkauman di kampus yang mampu menggugatkan kesejahteraan para mahasiswa. Sebelum ini pihak pentadbiran universiti dikenalpasti menghalang aktiviti kebudayaan Tionghua yang telah meresahkan mahasiswa dan dapat mengapi-apikan semangat cauvinisme. Namun bagi pihak berkepentingan, mereka tidak endah akan kesan
kepada perpaduan mahasiswa semata-mata untuk matlamat politik mereka.Ramai mahasiswa sebenarnya, tidak kisah jika parti politik ingin memasukki kampus. Mahasiswa umumnya sudah matang, dan ramai sudah layak untuk mengundi dan bertanding di dalam pilihanraya umum negara. Namun apa yang dikhuatiri oleh mahasiswa umumnya, ialah penyertaan parti-parti politik yang memerintah ke dalam kampus sedangkan parti-parti politik pembangkang dihalang untuk turun ke kampus-kampus. Jentera pentadbiran kampus disalahgunakan untuk mempromosi parti-parti pemerintah. Umpamanya Malam Perpaduan yang diadakan
tempoh hari oleh pihak pentadbiran Universiti Malaya memperlihat kehadiran pemimpin BN.

Demi masa hadapan negara, generasi muda hari ini harus dididik dengan nilai-nilai demokrasi, keadilan dan masyarakat madani. Bukankah cara terbaik ialah dengan memberi peluang tersebut kepada para mahasiswa sebagai bakal pemimpin negara? Namun senario menunjukkan bagaimana politik kampus yang kononnya dahulu arena pendakyahan politik pembangkang dan anti-establishment di ambil alih oleh proksi-proksi parti pemerintah yang membelakangkan prinsip-prinsip demokrasi. Kebajikan para mahasiswa dibelakangkan demi motif politik; dan kesannya, mahasiswa amnya menjadi apolitical dan jelek dengan kekotoran politik mainan pihak-pihak tertentu. Amat malang sekali pilihanraya kampus yang pernah menjadi perhatian seluruh negara menjadi satu non-event yang cuma disedari oleh segelintir mahasiswa.

---------------------------------------------------------------
C.Peng, seorang mahasiswa tempatan, bercita-cita melihat Malaysia yang baru lahir di masa hadapan. Beliau terlibat dengan Unit Pendidikan Politik, Institut Kajian Dasar.