Kebangkitan Pergerakan Pelajar : Anti-kerajaan, Pro-pembangkang dan Idealisme Perjuangan
Oleh : N.M. Omar

Kuala Lumpur, 10 Mac: Apabila Hishammudin Hussein secara sengaja atau tidak sengaja mengeluarkan kenyataan bahawa kebanyakan pemimpin pelajar tidak menyokong kerajaan, beliau tidak menyangka bahawa kenyataan tersebut akan memakan dirinya sendiri.

Pada 11 Februari 2001 lalu, sewaktu merasmikan Konvensyen Mahasiswa Melayu Kebangsaan 2001 di Intekma Resort & Convention Centre beliau berkata "Saya akui kebanyakan pemimpin pelajar di universiti-universiti tempatan tidak menyokong kerajaan." Apa yang jelas pada pemahaman sempit Hishammudin ialah tindakan dan idealisme pimpinan pelajar adalah pro-pembangkang dan anti-kerajaan. Konklusi secara kasar yang boleh dibuat adalah samada pelajar-pelajar menentang kerajaan secara membuta tuli dan dilihat sebagai alat pembangkang ataupun seperti Barisan Alternatif, mereka benar-benar mahukan reformasi dalam sistem negara berkaitan keadilan dan ketelusan dalam pengurusan negara. Prinsip-prinsip murni ini jelas dimamah dan diratah oleh kerajaan yang sedia ada dibawah pimpinan Mahathir Mohamad.

Apa yang pasti ialah para pelajar tidak dapat menutup sebelah mata terhadap ketidakadilan dan penindasan yang berlaku dihadapan mata mereka. Sejak pemecatan, kezaliman, percubaan menjatuhkan maruah dan pemenjaraan keatas Anwar Ibrahim, para pelajar merasa terpanggil untuk menunjukkan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan. Gelombang yang berterusan ini tidak dapat dibendung lagi oleh kerajaan dan mereka terpakasa mencari kambing hitam lalu BA dituduh untuk menutup kelemahan mereka sendiri.

Dalam membuat tuduhan melulu dan menyalahkan BA disamping menutup kelemahan dan ketidakupayaan Barisan Nasional Hishammudin berkata "Mereka selama ini disemai dan dihasut oleh pihak tertentu supaya membenci kerajaan dan ini tidak boleh dibiarkan." Seperti pemimpin-pemimpin kerajaan lain yang bersifat burung belatuk beliau cuma mengiakan apa sahaja yang dipalu oleh Mahathir. Mahathir ucap kali berkata bahawa para pelajar sejak kecil lagi telah dididik, dihasut dan disemai dengan sifat-sifat membenci kerajaan dan pemimpinnya. Kata Mahathir lagi, dahulunya kerajaan tidak mahu mengganggu pelajaran para pelajar, tetapi sekarang ini kerajaan terpaksa campur tangan dan 'mengganggu' para pelajar dalam usaha untuk menerapkan dasar-dasar cintakan kerajaan. Hishammudin terus-menerus mengiakan titah perintah Mahathir dengan berkata "Pemuda UMNO mulai sekarang akan terus mendampingi golongan pelajar universiti." Sungguh tidak 'original' dan menunjukkan ketidakwibawaan beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan dan juga sebagai Ketua Pemuda UMNO.

Hishammudin sudah tentu menjangkakan bahawa pimpinan pelajar akan membuat kenyataan balas yang mengecam beliau. Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mahadi Sukarno berkata Hishammuddin tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu secara melulu, tanpa ada sebarang bukti yang jelas dan nyata. "Ia merupakan pandangan yang kurang bijak dari Hishammuddin. Tidak ada bukti yang menunjukkan mana-mana Presiden MPP atau kepimpinan yang mewakili pelajar condong kepada mana-mana parti politik, khususnya pembangkang" katanya. Tetapi yang mengejutkan beliau ialah 'political backlash' daripada pimpinan kumpulan pelajar yang pro-kerajaan dan pemimpin kerajaan. Presiden GPMS, Suhaimi Ibrahim berkata "Tanggapan seperti itu akan menyinggung perasaan pelajar serta menimbulkan keresahan masyarakat terutama ibu bapa." Perlu didedahkan bahawa Suhaimi Ibrahim bertindak atas kapasiti beliau sebagai 'balaci' Aziz Syeikh Fadzir dalam usaha Aziz untuk memalukan Hishammudin. Malah usaha GPMS untuk mengadakan roadshow berkaitan isu Suqiu dibiayai oleh Aziz sebagai satu usaha untuk menidakkan kepimpinan Pemuda UMNO dibawah Hishammudin. Inilah permainan politik cantas mencantas oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang jelas korup, bacul dan tidak berprinsip.

Sebagai Menteri Belia dan Sukan, Hishammudin sepatutnya melakukan 'self-criticism' untuk mendalami akan ketidakpuasan hati para pelajar terhadap 'antics' dan salahguna kuasa kerajaan BN. Beliau tidak seharusnya menuding jari dan menyalahkan BA kerana tidak dapat membendung gelombang kebangkitan pelajar yang semakin lantang. Hishammudin jelas tidak mempunyai kekuatan untuk mengaku bahawa tindakan-tindakan kerajaan dibawah pimpinan Mahathir jelas tidak adil, tidak telus dan bersifat menindas pelajar dan rakyat marhain.

Menteri Pendidikan Musa Mohamad pula berkata "Terdapat juga budaya terikut-ikut di kalangan pelajar di mana mereka gemar mencontohi pelajar-pelajar mengkritik kerajaan dan ia merupakan budaya semasa tetapi mereka bukannya antikerajaan" yang jelas membidas Hishammudin, namun dalam masa yang sama pemahaman beliau tersasar jauh apabila mengatakan bahawa ini adalah 'trend' atau budaya semasa. Kemungkinan beliau tidak mengetahui akan sejarah iltizam dan idealisme para pelajar. Suharto jatuh dari tampuk pemerintahan akibat kebangkitan pergerakan pelajar dan 'student activism' begitu juga Marcos dan Shah Iran.

Dalam sejarah tanahair sendiri, pada lewat 60-an dan awal 70-an, kebangkitan pergerakan para pelajar merupakan tempat rakyat mendapat pembelaan apabila kerajaan bersikap acuh tak acuh dan tidak mengendahkan hal kebajikan rakyat. Nama-nama seperti Syed Hussin Ali, Ibrahim Ali, Hishammudin Rais dan yang paling terkenal, Anwar Ibrahim merupakan barisan pimpinan pelajar yang kehadapan berjuang menegakkan nasib rakyat terbanyak yang tertindas dan tidak dibela. Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dan Kelab Sosialis merupakan antara persatuan-persatuan pelajar yang paling lantang memperjuangkan hak rakyat pada waktu itu. Adakah ini juga budaya semasa? Pergerakan pelajar yang menentang penindasan di Tasik Utara, Johor dan memperjuangkan nasib rakyat miskin di Baling, Kedah merupakan satu iltizam, idealisme dan 'activism' pelajar yang prihatin. Kebangkitan ini mempunyai misi dan objektif yang murni dan bukan hanya satu budaya semasa ataupun 'trend'. Yang pasti para pelajar tidak hanya belajar daripada buku teks atau nota ceramah di dewan-dewan kuliah tetapi mereka turut mandapat pendidikan yang tidak ternilai melalui demonstrasi-demonstrasi tunjuk perasaan meskipun mereka akan dipenjarakan akibat akta drakonian ISA dan AUKU.

Musa sebagai Menteri Pendidikan, tidak harus terperangkap dengan permainan politik kotor pemimpin-pemimpin BN/UMNO tetapi kebajikan, kehendak dan keperluan para pelajar mestilah dipertimbangkan dan dipenuhi. Asas-asas prinsip seperti berkumpul secara aman, hak bersuara dan hak berpersatuan harus dikembalikan kepada para pelajar. Akta Universiti mestilah dibubarkan agar para pelajar dapat membangun dan memperluaskan minda mereka mengikut arus perubahan zaman.

Apa yang jelas ialah para pelajar mempunyai iltizam yang hampir selari dengan BA tetapi ini tidak bermakna para pelajar merupakan alat pembangkang. Presiden MPP Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Jabdin Juhat berkata "Mungkin secara kebetulan ia mempunyai persamaan dengan pendapat sesebuah parti politik, tapi ia tidak bermakna kami cenderung kepada pembangkang." Di mata dan di hati para pelajar, BA mewakili perjuangan dan kehendak mereka. Namun ada juga tindakan BA yang belum mendapat respon dan reaksi yang positif, sebagai contoh Agenda Politik Baru yang dilaungkan baru-baru ini. Politik perkauman tebal dan sempit telah ditanam oleh UMNO dengan begitu kuat dikalangan pelajar Melayu khususnya. Akibatnya, apabila isu perpaduan Melayu dipalu, maka ramailah kepimpinan pelajar seperti GAMIS, PKPIM, BBMN, GMLN dan banyak lagi mengangguk tanda bersetuju tanpa usul periksa akan 'udang disebalik batu' dan motif politik sebenar BN/UMNO. Tidak pula dikatakan bahawa ini satu budaya semasa yang menyokong kerajaan.

Hakikatnya, apabila prinsip suci murni dokongan para pelajar dicabul, maka para pelajar akan bangkit menurut isi hati nurani mereka yang merasa terpanggil untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka. Ini adalah satu fenomena yang jelas dan tidak dapat dibendung oleh kenyataan remeh temeh daripada pemimpin yang tidak punyai kredibiliti. Apa yang wajib dilakukan oleh kerajaan adalah dengan mengembalikan hak-hak pelajar dan rakyat terbanyak. Anwar Ibrahim mesti dibebaskan akibat sistem kehakiman yang jelas tidak adil, pengurusan dana negara mesti telus dan tidak hanya menguntungkan dua tiga kerat kroni pemimpin dan keluarga mereka, royalti minyak di Terengganu mesti dikembalikan dan tidak menjadikan rakyat sebagai tempat membalas dendam politik dan hak bersuara dan berhimpun perlu dikembalikan kepada rakyat.

Para pelajar harus mempunyai visi yang jelas dan iltizam serta idealisme yang murni untuk menegakkan hak-hak mereka dan juga rakyat terbanyak. Sesebuah negara itu akan maju sekiranya para pemudanya dinamik, berkembang pemikirannya dan tidak mundur atau jumud. Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Asyraf Wajdi Dasuki berkata "Jangan nanti kita dipersalahkan oleh anak cucu kita masa depan kerana meninggalkan generasi pewaris yang lemah dalam kepemimpinan negara lantaran hilangnya dinamisme kepimpinan (akibat kebekuan dan kelesuan pemikiran)."

Ahmad Zaki Yamani, seorang bekas pemimpin pelajar dalam artikelnya 'Pemimpin siswa 'melacurkan' politik' seperti yang disiarkan di Malaysiakini pada 10 Mac 2001, menganggap pemimpin siswa sebagai pelacur politik. Mungkin klausa 'pelacur politik' berbau busuk, jijik dan hina tetapi menurut pemahaman saya beliau perlu berkata demikian agar para pimpinan pelajar tidak menjadi seperti lembu yang ditarik hidung oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan politik. Kata beliau "Siswa perlu bebas agar mereka boleh mengkritik dan memberikan cadangan untuk membetulkan kesilapan yang berlaku. Mereka perlu bebas menegur sesiapa, hatta pemerintah dan juga pembangkang." Namun dalam masa yang sama, perlu dinyatakan bahawa adalah menjadi perogratif parti-parti politik pemerintah ataupun pembangkang untuk mengembangkan sayap mereka ke kampus-kampus. Akan tetapi pimpinan siawa sepatutnya mempunyai kekuatan dan 'moral high ground' untuk menegur sebarang kemungkaran waima parti induk mereka sekalipun. Pimpinan persatuan dan biro mahasiswa mestilah mereka yang punya wibawa dan kredibiliti agar pergerakan pelajar diolah menjadi satu institusi yang dinamik, progresif dan berprinsip.

Para pelajar harus menjadi pemangkin pengislahan atau reformasi dalam menyediakan sistem pemerintahan negara yang lebih unggul untuk generasi akan datang. Isu-isu yang sempit seperti isu Suqiu, perpaduan Melayu ataupun isu Bollywood tidak patut menjadi isu perjuangan para pelajar. Isu-isu seperti keruntuhan sistem kehakiman, kemunduran masyarakat di estet-estet dan pedalaman, pencabulan hak-hak asasi manusia dan keadilan sosial sejagat harus dijadikan agenda para pelajar. Para pelajar sebagai agen reformasi harus bertekad mengembalikan zaman kegemilangan pergerakan pelajar dan merobah sistem sedia ada yang jelas pincang untuk menuntut keadilan, kebenaran dan kebebasan.