Kebakaran di Dewan Tunku Canselor berserta dengan penangkapan dua orang pemimpin pelajar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah menyebabkan seluruh negara hangat berbincang mengenai mahasiswa. Beberapa pemimpin kerajaan melaungkan amaran terhadap mahasiswa - tumpukan pelajaran dan jangan pedulikan politik. Sememangnya, pihak `establishment' kurang berminat akan pelajar yang terlibat dengan aktivisme. Ini kerana dengan pemerintahan pihak kerajaan pimpinan Barisan Nasional yang penuh dengan seribu satu kepincangan takut akan golongan muda yang terdidik yang berani bersuara menentang corak pemerintahan yang mereka amalkan.
Sikap reaksionari ini sudah dari dahulu kala
mengiringi pemerintah - pemerintah di dunia ini. Golongan mahasiswa mewakili
golongan muda yang enlightened - berilmu kerana mendapat peluang pendidikan
di menara gading, disamping memilikki darah muda yang berani, idealistik dan
tidak dipengaruhi pelbagai kepentingan
sebagaimana graduan yang telah lama meninggalkan universiti. Universiti diiktiraf
sejagat sebagai pusat ilmu yang terunggul bagi mana - mana masyarakat. Universiti
sama ada di Cordova dan Al-Azhar bagi masyarakat Islam, ataupun universiti-universiti
di Oxford dan Bologna di Eropah menjadi simbol keunggulan ketamadunan
bangsa di mana berdirinya universiti-universiti tersebut. Namun universiti menjadi
simbol keunggulan ilmu dan
ketamadunan sesuatu budaya bukanlah kerana menjadi tempat untuk mendapat segulung
ijazah semata-mata -universiti mempunyai peranan yang jauh lebih besar. Setiap
kali masyarakat memerlukan pimpinan yang berani menyuarakan kebenaran - ketika
pihak lain gagal memainkan peranan tersebut secara efektif, mereka akan berpaling
kepada golongan pelajar.
Ini kerana menara gading dilihat sebagai pusat
pendidikan yang lengkap dan holistik, bukan tempat lahirnya pelajar yang lemah,
lesu dan gagal memperjuangkan agenda yang lebih besar bagi manfaat ramai. Universiti
menjadi jambatan antara alam remaja seseorang dan alam dewasanya - sekurang-kurangnya
untuk majoriti mahasiswa. Maka sekiranya mahasiswa terus dilayan sebagai pelajar
sekolah dengan pelbagai sekatan dan peraturan yang langsung tidak kena dengan
kematangan yang dimilikki mereka, masa hadapan negara akan menjadi gelap. Tradisi
kepimpinan untuk masa akan datang tidak dapat diwariskan dengan sempurna kepada
pengganti-pengganti yang mampu. Disinilah potensi bakal pewaris kepimpinan negara
akan dapat digilap
dan dilihat oleh masyarakat.
`Melayu mudah lupa' kata Dato' Seri Dr. Mahathir.
Beliau bersama hampir keseluruhan saf kepimpinan negara
kebanyakkannya dahulu pernah terlibat dengan aktivisme mahasiswa. Ketika menuntut
di Singapura, beliau sering menulis di dalam akhbar membicarakan isu-isu yang
hampir dengan bangsa Melayu, dengan menggunakan nama samaran Che Det. Pada zaman
60-an dan 70-an - ketika aktivisme siswa seluruh dunia menggelegak dengan semangat
dan harapan yang besar di kalangan pejuang-pejuang gerakan pelajar, golongan
siswa seringkali menjadi conscience masyarakat apabila pihak lain kelu membisu.
Di pentas antarabangsa - nama-nama seperti Daniel Cohn-Bendit dan Abby Hoffman
menjadi sebutan ramai kerana keberanian mereka mempersoal tindak-tanduk pemerintah.
Gerakan mahasiswa sedunia menjadi antara barisan hadapan perjuangan anti-Perang
di barat dan berani mendepani isu-isu masyarakat dengan liberal dan progresif.
Di negara kita, pemimpin mahasiswa seperti Anwar Ibrahim, Hishamuddin Rais, Adi Satria dan Ibrahim Ali mengisi vacuum yang terhasil dari penyertaan parti-parti pembangkang utama seperti PAS, Gerakan dan Parti Progressif Rakyat (PPP) ke dalam Barisan Nasional. Saf kepimpinan pelajarlah yang berani mendekati rakyat marhaen yang dilupakan, memperjuang nasib sejagat golongan tertindas oleh kuasa-kuasa imperialis dan akhirnya menjadi penggerak kebangkitan Islam di Malaysia. Ketika Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama Malaysia memecat Dr. Mahathir dari UMNO, gerakan pelajar dan parti pembangkanglah yang memberinya ruang untuk menegakkan keadilan buat dirinya. Tetapi, dengan kata-katanya sendiri, sayang sekali `Melayu mudah lupa'.
Akhirnya kegusaran pihak pemerintah menjelmakan
dirinya di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang kemudiannya
dipinda pula untuk terus melemaskan suara-suara berani para mahasiswa. Persatuan
Mahasiswa dirompak kebebasannya - menjadi Majlis Perwakilan Mahasiswa yang tidak
lagi berpengaruh dan tidak lagi punya kuasa seperti era pra-AUKU. Akhirnya kekuatan
gerakan mahasiswa sudah lenyap sama sekali.
Sepanjang dekad 80an dan 90an, mana-mana mahasiswa yang agak berani sedikit
menghadapi tindakan dibuang universiti. Universiti menyingkirkan suara-suara
yang dapat mengembalikan martabat mereka di kalangan masyarakat. Akhirnya, bersama-sama
liberalisasi dasar pendidikan negara yang memberi ruang kepada ratusan kolej-kolej
swasta yang bermotifkan keuntungan untuk tumbuh di negara, fungsi institusi
pengajian tinggi di negara cuma sebagai kilang-kilang untuk menghasilkan makhluk-makhluk
konformis, lembik dan sekadar untuk memainkan peranan di dalam ekonomi kapitalis
sejagat. Mereka bagaikan android yang tidak tahu berkata `tidak', yang terpisah
dari isu-isu masyarakat, malah tidak dapat menghayati keseluruhan falsafah ilmu
dan universiti itu sendiri.
Masih banyak potensi bakal kepimpinan negara dan bangsa berada di kampus-kampus negara. Sayang sekali, mereka yang dapat bersuara, yang dapat mendepani pelbagai isu dicantas tanpa belas kasihan, untuk survival politik pihak-pihak tertentu. Di dalam era globalisasi ini, sekiranya kita gagal melahirkan mahasiswa yang berkualiti, berkepimpinan dan berfikiran terbuka dan kritis, maka kita tidak dapat bersaing di dalam arus ekonomi antarabangsa; dan akhirnya akan ketinggalan dan impian `k-economy' kita akan tinggal sebagai impian. Usah dipermainkan kematangan mahasiswa. Mereka bukan kanak-kanak kecil lagi. Layanilah mereka sebagai orang dewasa yang bertanggungjawab. Di dalam Perlembagaan Persekutuan, mereka sudah berhak untuk menentukan kepimpinan negara dan dasar-dasar negara menerusi penglibatan di dalam Pilihanraya. Maka tidak ada salahnya mereka untuk punyai pendapat yang tidak sehaluan dengan pihak kerajaan. Tidak sependapat bukanlah satu kedurjanaan kepada negara, tetapi rahmat buat semua.
Bidang akademik sememangnya teras pembelajaran
di kampus dan diberi perhatian yang secukupnya. Tidak seharusnya mana-mana mahasiswa
memberi prioriti yang lebih kepada bidang-bidang bukan akademik sehinggakan
menjejaskan keputusan mereka. Walaubagaimanapun, kebanyakan pimpinan mahasiswa
adalah pelajar yang biasa (mendapat keputusan minimum untuk lulus) jika tidak
pelajar cemerlang, maka masalah tersebut tidak timbul. Tidak berguna mendapat
Sarjana Kelas Pertama sekiranya kita tidak berani untuk menyatakan pendirian
dan ideal yang kita percayai. Jelas sekali, pemikiran yang cuba disebarkan oleh
pihak
kerajaan adalah umpama orang yang takut dengan bayang-bayang sendiri. Mereka
sendiri pernah melalui zaman aktivisme, dan mereka takut generasi baru yang
berwawasan, idealistik, berani dan berilmu akan
mencabar monopoli kekuasaan yang mereka milikki.
Idealisme, keikhlasan dan semangat generasi mahasiswa muda bersifat sebagai satu pengimbang kepada sifat pragmatik dan tidak endah golongan dewasa. Mereka penuh harapan setinggi gunung, tetapi pihak kerajaan merantai mereka dengan AUKU dan pelbagai akta lain yang merimaskan kerana benar-benar risaukan potensi yang dimiliki mahasiswa. Tindakan menahan dua orang pimpinan mahasiswa di bawah ISA menjadi bukti tambahan kepada betapa terdesaknya pihak pemerintah di dalam senario hari ini. Tokoh-tokoh politik, akademik, pejuang reformasi semuanya pernah menjadi mangsa akta zalim ini, tetapi dengan menggunakan ISA ke atas mahasiswa; seluruh dunia menjadi saksi terhadap sifat pengecut pihak kerajaan kepada generasi muda yang milikki idealisme.