KE ARAH MEMBINA BANGSA MALAYSIA YANG BARU
oleh: Nik Nazmi Nik Ahmad, Unit Pendidikan Politik- IKD

 

"Dalam hal ini, perlulah diingat perintah al-Quran yang dinyatakan sebagai li-ta'arafu-saling kenal mengenal ditujukan kepada seluruh manusia, bukan kepada orang Islam saja..."
Dato' Seri Anwar Ibrahim, Gelombang Kebangkitan Asia


Dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh penjajah dahulu untuk menguasai tanah air terus meninggalkan kesannya hingga ke hari ini. Suatu ketika dahulu, bangsa Cina dan India tidak menganggap negara ini tanah air mereka, kerana mereka tidak diterima oleh anak watan dan kerana mereka masih lagi mempunyai semangat kebangsaan yang kuat. Sekolah-sekolah vernakular memandang ke negara Cina dan India untuk kurikulum, guru dan buku teks. Malayan Union yang diwarwarkan oleh kolonialis ditentang hebat oleh bangsa Melayu kerana penghakisan kedaultan raja-raja Melayu dan hak-hak istimewa Melayu. Selepas itu, senario politik negara dikuasai oleh gabungan parti-parti yang berkiblatkan isu-isu perkauman sempit-UMNO, MCA dan MIC. Parti-parti bertunjangkan agama-PAS dan yang berhaluan kiri seperti PRM, Parti Buruh dan Parti Progresif Rakyat (PPP) terpinggir.

Selepas masalah etnik melihat Kota Singa meninggalkan Persekutuan Malaysia, negara dikejutkan lagi dengan peristiwa hitam 13 Mei 1969. Ini telah mengejutkan pemimpin-pemimpin negara kiranya tanpa pengagihan kekayaan yang adil antara kumpulan etnik yang pelbagai di Malaysia, akan timbullah masalah perkauman yang akan meruntuhkan struktur sosial masyarakat. DEB diperkenalkan, namun tujuannya yang murni dan suci tercemar oleh pemimpin-pemimpin yang menggunakan DEB sebagai peluang untuk memperkayakan dir mereka dan keluarga mereka. Bangsa bukan Melayu berasa gusar dengan kehadiran DEB, dan kegusaran ini digambarkan apabila DAP makin mendapat sambutan berbanding MCA dan MIC yang mereka anggap telah menjual hak bangsa mereka. Akhirnya UMNO tunduk dan mula memperkenalkan dasar liberalisasi terhadap pelbagai aspek bangsa Cina, walaupun lebih berbentuk kosmetik, dan ini mula menghilangkan tembok antara bangsa Cina dan bangsa Melayu. Kerajaan bagaimanapun telah ketandusan idea barangkali apabila memilih taktik jelek

Sememangya, sejak kita merdeka 42 tahun yang lalu, kita gagal melihat satu bangsa Malaysia yang benar-benar bersatu terbentuk. Tidak dinafikan bahawa perbezaan etnik makin diatasi, namun kemajuan yang kita capai cukup sedikit jika dibanding dengan kemajuan material kita. Kontroversi hebat hasil tuntutan Suqiu baru-baru ini-hingga Perdana Menteri menggelarkan mereka komunis, satu tuduhan yang berat bagi negara konservatif seperti kita ini; membuktikan kita masih perlu melalui perjalanan yang jauh. Di mana silapnya? Mengapa isu politik kita masih mengikuti garis-garis etnik yang mundur? Mengapa wujud prasangka antara kaum Tionghua dan India, antara India dan Melayu dan antara Melayu dan Tionghua?

Jawapannya cukup mudah. Silap besarnya letak pada pemimpin. Pemimpin punya kuasa untuk mengubah sistem, dan sistem berkuasa mengubah masyarakat. Pemimpin kita belum benar-benar berani membuang jauh-jauh prinsip nasionalisme bertunjangkan etnik sebagaimana Malcolm-X mengisytiharkan perubahan pendiriannya dari seorang Black Muslim yang ekstremis kepada seorang Muslim yang berpegang pada sifat universal Islam.

Parti-parti yang menjadi mangsa sejarah karangan UMNO seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Parti Buruh, Parti Rakyat dan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) dahulu berani untuk menjangkau pemikiran masyarakat yang masih didalangi semangat perkauman yang tebal. Tokoh pejuang kemerdekaan agung Dr. Burhanuddin Al-Helmy, pemimpin PKMM dan PAS misalnya, menggagaskan idea satu bangsa satu negara di mana bangsa Cina dan India diiktiraf rakyat Tanah Melayu dan dianggap satu bangsa dengan anak-anak watan.

Namun pemimpin kita pada awal dahulu lupa akan nasib anak bangsa dan tidak memandang serius bara perkauman yang mula membakar di dalam sekam rakyat. Apabila 13 Mei tercetus, para pelajar dengan lantang menyuarakan kritikan terhadap Tunku Abdul Rahman. Mereka terus lantang mengutuk saf kepimpinan negara dengan pemecatan Dr. Mahathir (sesungguhnya hidup ini umpama roda). Peristiwa Baling membuktikan kerajaan masih tidak berjaya mengatasi masalah pengagihan kemewahan secara menyeluruh. Sekolah-sekolah vernakular telah meninggalkan satu parut yang dalam di dalam jiwa raga anak-anak bangsa.

Parti DAP sebelum ini yang dilihat dengan rasa gusar di kalangan bumiputera telah membuktikan ketulusan perjuangan mereka apabila mereka Lim Guan Eng mengorbankan 18 bulannya bagi membela gadis Melayu. Di Kelantan dan kini Terengganu, bangsa bukan Melayu menikmati keadilan dan ketelusan pemerintah yang belum mereka rasai di bawah BN yang korup. Senario selepas kegawatan politik 1998 di mana parti - parti yang bertentangan dari sudut ideologi-PAS dan DAP, di samping pelbagai kumpulan NGO, gerakan Islam dan pelajar bernaung di bawah GERAK dan kemudian PAS, DAP, Keadilan dan PRM menggembeling tenaga di dalam Barisan Alternatif; mencatat satu lembaran baru di dalam sejarah politik negara. Ini boleh dianggap perkembangan positif ke arah pembentukan bangsa Malaysia yang baru, bangsa Malaysia yang bersatu. Di kampus-kampus seluruh negara para mahasiswa yang mendukung perubahahan mula mengatasi perbezaan antara kaum bagi membentuk gagasan-gagasan 'broad based' seperti Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya dan lain-la

Tahun-tahun mendatang akan melihat kita mempunyai peluang untuk mengubah negara. Untuk mengubah sistem. Untuk mengubah masyarakat. Siapa di antara kita berani menjadi Presiden Johnson dengan program 'Great Society'nya atau Nelson Mandela yang membuktikan kemunduran sistem berasaskan etnik? Para mahasiswa dan belia amnya harus bangkit dari kealpaan, kejelekan yang kolot, membina rangkaian supra-etnik bagi membentuk bangsa Malaysia yang baru. Tidak salah kita membincangkan keadilan dan kerelevanan DEB, mempersoal perihalpentingkah lagi sekolah sekolah vernakular di dalam kamus pendidkan global abad ke-21 dan apa status non-Muslim di dalam sebuah kerajaan Islam. Selama ini kita cuma berani memperkatakan hal-hal ini di kedai-kedai kopi, di bilik tidur kita. Perbincangan intelektual mengenainya dihalang oleh pelbagai akta yang merimaskan. Hapuskan syak wasangka, perasaan benci dan takut. Kita semua rakyat Malaysia.